Content

Michel Collon : Israel, Let's Talk About It

Friday, 15 July 2011 0 comments
Wartawan Belgium, Michel Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk about it’ (Israel, mari kita berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana laporan media Eropah melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka menyokong kewujudan negara haram Israel.

Michel Collon

Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media Barat bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan negara Zionis itu.

Penipuan itu adalah:

1. Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.


Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin bagi menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.

Untuk makluman, Perang Dunia Kedua berlaku di antara 1939 hingga 1945.

2. Untuk menghalalkan penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa wilayah itu adalah warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.

Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.

“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo Sand, yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah berlaku.

Shlomo Sand

“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman purba.

“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah warisan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak wujud sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak memiliki persamaan sejarah, bahasa atau budaya.

“Satu-satunya persamaan mereka adalah agama, tetapi agama bukan asas membina negara,” katanya.

3. Penipuan ketiga ialah dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika Yahudi mula-mula mendudukinya.

Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.

Katanya, Perancis adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada produk pertanian Palestin pada abad itu.

4. Ada pihak mendakwa warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.

“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.

Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu berkenaan.

Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu, sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.

“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin dihalau dan dilarang kembali melalui kekerasan dan keganasan,” katanya.

Warga Palestin dihalau secara besar-besaran pada 1948

Perkampungan Palestin yang ditinggalkan

5. Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib dipertahankan.

Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang, malah satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi menjelaskan sempadannya.

“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had batasan masing-masing tetapi tidak bagi Israel.

“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal batasan dan undang-undangnya amat rasis,” katanya.

Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.

“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,” katanya.

6. AS didakwa cuba melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.

Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel sehingga RM9.7 bilion setahun.

“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.

AS, kata Collon, sebenarnya hanya berminat memastikan aliran petroleum di rantau itu tidak terganggu.

7. AS kononnya berusaha mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.

“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.

Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.

Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka secara kewangan.

Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga Palestin memilih kerajaan mereka secara demokratik, Eropah enggan mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau kepada Israel menyerang Gaza.

8. Menganggap mana-mana pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai anti-Semit.

Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang cuba mendedahkan tembelang Israel.

“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi mengecam dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di antara Yahudi, Kristian dan Islam.

“Ia juga memusnahkan keamanan di antara pengikut pelbagai agama,” katanya.

9. Media massa mendakwa Palestin punca keganasan.

Sebaliknya, kata Collon, penjajahan Israel itulah keganasan sebenar kerana mereka merampas tanah dan kediaman penduduk yang berhak.

10. Isu sering dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan Palestin.

Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.

“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah serta rantau lain di seluruh dunia,” katanya.

Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan kebenaran juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.

“Menggunakan Internet atau media lain, marilah kita sama-sama melaporkan berita sebenar mengenai Palestin,” katanya.
http://en.wikipedia.org/wiki/Michel_Collon
http://bbs.chinadaily.com.cn/viewthread.php?tid=672087
Read more »

πρᾱξις kekuasaan Pakatan Rakyat: satu kritikan ringkas daripada Wan Ahmad Fayhsal

Monday, 11 July 2011 0 comments




πρᾱξις atau dalam Bahasa Inggerisnya " Praxis" menggambarkan satu proses penterjemahan idea kepada perbuatan ( translating an idea into action). Dalam falsafah politik praxis menerangkan mekanisme kepada proses mencapai sesuatu matlamat politik.


Pada hari ini, Pakatan Rakyat merupakan sebuah entiti politik yang cukup dipandang tinggi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. Bila sahaja kita sebut Pakatan Rakyat, maka nama yang menjadi fokus utama rakyat adalah Dato' Serin Anwar Ibrahim (DSAI) sendiri.


Ya, itulah realiti, bukan Lim Kit Siang mahupun Tn Guru Haji Hadi. Ini bukanlah satu kehairanan kerana yang berjaya menyatukan kedua-dua parti yang kontra ini ya'ni DAP dan PAS adalah DSAI.

Kenapa DSAI bukan orang lain? Apakah yang istimewa berkenaan DSAI sehingga mampu mempengaruhi banyak orang di Malaysia ini dari zaman mahasiswa sehinggalah hari ini? Sedikit sebanyak telah saya ceritakan disini. Tetapi bagi saya, kenapa DSAI menjadi lebih sedikit berbanding orang lain adalah kerana faktor ilmu. 


DSAI bukanlah produk yang wujud dalam vakum tanpa bagasi sejarah yang membentuk akal budinya. Kepimpinan, retorika, idealisme, fikrah, dan apa sahaja ciri-ciri ( attributes ) yang dimiliki beliau digilap dari lahir kecil lagi (MCKK, UM).
  

Kita boleh cuba buktikan analisa ini menggunakan logik ringkas berkenaan "mengapa DSAI seorang pemimpin yang hebat".


Logik 1: DSAI seorang pemimpin yang hebat. Mengapa beliau hebat?


Logik 2: DSAI hebat kerana petah berbicara, wibawa intelektual, empunya fikrah Islami etc. Mengapa beliau mempunyai semua itu?


Logik 3: DSAI mempunyai semua itu melalui pengalaman yang ditimbanya dari zaman muda hinggalah sekarang. Bagaimana beliau menimba pengalaman?


Logik 4: DSAI menimba semua itu melalui pendidikan formal (sekolah, universiti) dan tidak formal ( usrah, aktivisme). Siapa yang mendidik beliau sehingga jadi begitu?


Logik5: DSAI dididik oleh ramai ilmuan yang hebat seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,Pak Natsir, Imaduddin, Prof. Ismail al-Faruqi, Edward Said etc. disamping minat membaca beliau yang cukup tinggi sewaktu zaman mahasiswa sehinggalah kini. Apa yang menjadikan guru-guru dan DSAI hebat?


Logik 6: Guru-guru dan DSAI menjadi hebat dan "melebihi" orang lain adalah kerana ILMU yang dimiliki mereka.


Kesimpulan: Ilmu adalah Kuasa. Kuasa adalah Pengaruh. Pengaruh adalah kemenangan Politik
.

Dalil Aqli/falsafah: 

Francis Bacon, ahli sejarah British juga memperkatakan " scientia potentia est" ataupun dalam Bahasa Inggerisnya "Knowledge is Power". Ini terbukti melalui depan mata kita sendiri bahawa bangsa yang berilmu yang kena pada realiti masa kini sangat berkuasa. Bangsa yang memiliki ilmu sains dan teknologi yang tinggi bukan sahaja menguasai kehidupan manusia malah dunia tabii (nature) sekaligus. Tapi berkuasa sahaja belum tentu mereka berada dalam jalan Kebenaran tanpa petunjuk wahyu.

Dalil Naqli: 


(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. Al-Quran (39:9)


Sungguh terang dan jelas sekali orang yang mengetahui mempunyai darjat yang berbeza daripada orang yang tidak mengetahui. Perbezaan ini sudah tentu sekali menghasilkan "kuasa" baik fizikal, mental, spiritual antara yang mengetahui dan tidak mengetahui. Secara amnya begitu. Tetapi jikalau ilmu yang dimiliki adalah ilmu yang salah tidak kena dengan prinsip Islam maka yang "kuasa" yang ada hanya melahirkan kerosakkan (fasad) terhadap diri,masyarakat dan dunia.


Contohnya, teknologi nuklear yang dipunggah daripada ilmu fardhu kifayah tanpa diletakkan di bawah selian fardhu ain hanya mendatangkan kerosakkan seperti yang kita lihat di Hiroshima, dan Nagasaki membunuh orang yang tidak berdosa. 


Sememangnya orang yang mempunyai ilmu nuklear itu berkuasa tetapi kerana sifat haiwaniyyahnya tidak dipertimbangkan dengan aqal yang dipandu wahyu maka lahirlah kerosakkan yang maha dahsyat. Hukumannya pasti durjana kalaupun tidak di dunia tetapi di akhirat kelak!


Berbalik kepada persoalan asal berkenaan praxis kekuasaan Pakatan Rakyat. Apalah yang menjadi Pakatan Rakyat seperti sekarang? Kita setuju bukan bahawa DSAI adalah "X-Factor" kepada Pakatan Rakyat. Bukan Lim Kit Siang, bukan Tn Guru Haji Hadi. DSAI melebihi mereka dari segi pengaruh yang merentasi perkauman. 'Kuasa" DSAI lebih seimbang dalam semua lapangan yang bersangkut paut dalam politik semasa. Beliau berpengetahuan dalam politik, ekonomi, kepimpinan, perpaduan, agama Islam yang mana pimpinan DAP dan PAS tidak mempunyai leverage yang sama seperti beliau. Mereka mungkin mempunyai sedikit pengetahuan sepertimana yang ada pada DSAI tetapi dari sudut pragmatisme politik semasa terutamanya pengalaman memerintah dan memimpin rakyat Malaysia yang berbilang kaum DSAI jauh mendahului mereka. Itu hakikat. DSAI seorang pemimpin yang well rounded.


Cubalah letak Lim Kit Siang sebagai pemipin utama dalam kerajaan Pakatan Rakyat 16 September. Mahu Orang Melayu tidak menyokong. 

Cubalah letak Tn Guru Hj Hadi sebagai pemimpin utama dalam kerajaan Pakatan Rakyat 16 September. Mahu Orang bukan Melayu tidak menyokong.



TETAPI masalahnya saya tidak boleh terima DSAI seterusnya Paktan Rakyat sebagai Kebenaran yang meyakinkan untuk memerintah negara ini. 


Ini kerana dari segi idealisme dan hala tuju DSAI yang kurang jelas dalam segenap segi menjadikan ianya satu ilusi politik yang cukup berbahaya. DSAI sebagai individu tidak menjadi masalah. Tetapi untuk memimpin negara, ianya memerlukan pasukan yang hebat. 


Masakan bagaimana Pakatan Rakyat ingin memipin negara jikalau tiada kesatuan fundamental antara parti-parti komponennya. Barisan Nasional berjaya sekian lama bukan kerana rasuah (walaupun membantu juga) tetapi kontrak sosial yang wujud antara parti-parti komponen Barisan Nasional memungkinkan semua itu. Ideologi nasionalisme yang sederhana (UMNO bukan kafir, fasik mungkin. mereka silap kerana melihat Islam sebagai aspek budaya sahaja) dengan menghormati perbezaan antara kaum dan agama yang ada itu melahirkan ikatan politik yang agak kukuh dalam jangka masa 50 tahun kebelakangan ini. 



Ini tidak ada dalam Pakatan Rakyat. PAS mahukan syariah dan negara Islam tetapi DAP sangat anti Islamisasi! PKR duduk di tengah-tengah berkompromi antara satu sama lain selagi boleh. Apakah mustahil mereka akan terus bertahan tanpa keselarasan fikrah/idealisme? Kita tidak boleh bersatu semata-mata atas DASAR MEMBENCIKAN UMNO DAN KEZALIMAN semata-mata yang sarat dengan emosi dan sentimen. Tanpa Ilmu yang meyakinkan, mana mungkin momentum praxis kekuatan Pakatan Rakyat mampu bertahan lama? 



Kita ambil satu senario yang mungkin berlaku. Jikalau DSAI sudah tidak berkuasa lagi, siapakah penyatu kuat kepada Pakatan Rakyat? Adakah pemimpin PKR yang lain mempunyai kewibawaan seperti DSAI? Apakah Azmin Ali, Sivarasa, Wan Azizah mampu menjadi penyatu dalam Pakatan Rakyat sama wibawa seperti DSAI? Saya rasa tidak kerana mereka bukan DSAI. 



Mengimbau kembali analisa ini, kita harus mencari titik kekuasaan DSAI dan mengalihkannya kepada PAS agar PAS menjadi lebih dominan dan mampu memandu Pakatan Rakyat bukan sebaliknya. Titik kekuasaan DSAI itu tidak lain tidak bukan dalah ilmu. Dari segi kepercayaan (tsiqah) dan Kebenaran hala tuju kehidupan dunia akhirat anak Adam , PAS lebih relevan untuk umat Melayu Islam berpaut harapan. 


TETAPI masalahnya PAS tidak empunya kekutan yang dimiliki DSAI iaitu dinamika budaya ilmu kontemporari.


Inilah masalah PAS. Saya sering katakan PAS tiada budaya ilmu dalam kalangan pimpinan, serta ahlinya. Kalau ada pun sangat sempit sekadar berlegar di medan ilmu
fardhu ain. Kaji sajalah usrah, akhbar Harakah, ceramah, manifesto mahasiswa aktivis PAS dan segala macam medium yang mendefinisikan PAS. Banyak slogan dan sentimen berbanding ilmu yang meyakinkan untuk menyelesaikan masalah kontemporari. Kelemahan PAS paling ketara adalah pada bahagian ilmu fardhu kifayah. 


Oleh kerana DSAI mempunyai Institut Kajian Dasar (IKD) dan segala macam hubungan beliau dengan badan-badan pemikir, intelektual, ulama' di seluruh dunia, PKR menjadi kunci kesatuan Pakatan Rakyat keranan DAP dan PAS terpaksa bergantung kepada DSAI! Pasukan DSAI-lah yang bakal mendominasi percaturan dasar dari segi sumbangan idea, terutamanya dari sudut ekonomi. 


Saya pasti jkalau DSAI sekadar pandai buat lawak dan maki hamun dalam ceramah, insan yang bernama Anwar Ibrahim itu tidak akan menjadi seperti apa yang beliau ada sekarang. 


Sudah jelas bersuluh bahawa ILMU merupakan faktor utama yang mendefinisikan kewibawaan DSAI seterusnya DSAI sebagai pempimpin utama Pakatan Rakyat.


Jadi harapan kita umat Islam yang berpegang kepada prinsip, yang paling relevan untuk diharap pun hanyalah PAS. 


TETAPI penumpuan PAS lebih kepada KEKUASAAN daripada KEILMUAN. Ada aktiviti ilmu tetapi kurang sangat untuk menampung beban perjuangan dan cabaran MEMIMPIN RAKYAT kelak. 



Selalunya dalil yang diberikan oleh ustaz-ustaz PAS dalam ceramah, bengkel, tamrin, program etc. menggunakan kaedah usul-fiqh:

"malayatimul wajib ila bihi fahuwa wajib"


   " apa yang membawa kepada sesuatu yang wajib adalah wajib"


Contohnya untuk bersolat kita perlu berwuduk ( ablution ). Mengambil wuduk secara hakikatnya bukanlah benda yang wajib semata-mata tetapi sesuatu yang sunat(untuk baca Al-Quran, untuk mengelakkan marah etc.). Tetapi untuk solat fardhu ya'ni sesuatu benda yang wajib, maka hukum wuduk berubah menjadi wajib pada ketika itu. Tanpa wuduk tidak sah solat.


Dalam perihal politik, dikatakan perlunya umat Islam kepada kuasa, bagi meletakkan syariah ( Islamic sacred law) dalam masyarakat. Betul. Saya setuju. Tiada siapa kata salah. Tanpa kuasa masakan bagaimana kita boleh merealisasikan hukum-hakam Islam dalam masyarakat.


Kuasa itu menjadi wajib TETAPI BUKAH ITU SAHAJA YANG WAJIB. 


Seharusnya kita harus bertanya apakah yang membawa kepada perlaksanaan syariah yang berjaya? ( what leads to the implementation of syariah?)


Sudah tentu ilmu! Wajibat terhadap ilmu adalah lebih besar daripada kuasa. Dengan kuasa semata-mata tanpa kefahaman yang baik di kalangan ahli masyarakatnya, kejayaan perlaksaan syariah akan menjadi tempang. Masakan bagaimana masyarakat yang tidak terdidik dengan ilmu kefahaman agama Islam mereka boleh menerima semua itu dan melaksanakannya dengan ikhlas? Dalam keadaan umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai jenis masalah ilmu yang datang dari pelbagai penjuru fardhu ain dan farhu kifayah, kuasa SEMATA-MATA tidak boleh melahirkan kemenangan yang kita inginkan.


Apabila saya berhujah begini dengan menekankan peri penting ilmu BUKAN BERMAKNA kita tidak beramal. Ilmu yang benar pasti melahirkan amal yang benar. Ilmu yang palsu melahirkan kerosakkan yang palsu.

Yang saya tekankan di sini adalah perlunya PAS mempunyai persediaan ILMU yang mantap dalam usaha mendaki gunung kekuasaan politik! Dan persediaan ini bukanlah satu benda yang statik tetapi dinamik mengikut perubahan dan cabaran zaman! 

Yang saya selalu dengar:


" Kita harus mendapat kuasa dulu. Dah menang nanti baru kita isi dengan ilmu. Barulah kita fikir nak buat dasar, buat pelan, buat bajet. visi, misi kerajaan secara terperinci. Sekarang kita jatuhkah kerajaan toghut dulu! Takbir!!!"

Saya yakin kalau inilah persediaan kita, dengan PAS Research Center yang tak macam research center, lujnah-lujnah yang hidup segan mati tak mahu, akhbar Harakah yang semacam klon Utusan Melayu versi PAS, ceramah retorik tanpa penyelesaiaan, jangan mimpilah Islam mampu tegak berdiri dan diterima ramai. 


Saya hanya akan menjadi yakin apabila PAS mampu mengeluarkan blueprint kepada rancangan memerintah negara untuk 50 tahun akan datang. Panduan yang lengkap dengan pimpinan yang celik realiti kontemporari dan sejarah silam. Bukan slogan semata-mata. 



Sampai bila PAS mahu kompromi dengan PKR dan DAP? Hendak cakap pasal Melayu takut pengundi bukan Melayu lari. Inilah masalahnya. Orang Melayu sudah mula keliru. UMNO pun teruk, PAS pulak segan-segan hendak perjuangkan hak Melayu. Politik kompromi hanya melahirkan kekeliruan. PAS perlu lebih tegas dalam beberapa prinsip yang penting terutamanya berkenaan isu Melayu yang melibatkan Institusi Melayu. 



Kritikan ini bukanlah untuk menjahanamkan PAS tetapi agar kita dapat menimbang tara pro dan kontra yang tersembunyi tatkala kita sedang asyik menunggu 16 September yang entah bila. Biarpun DSAI yang menjanjikan coup de tat secara aman, bukan DSAI semata-mata secara hakikatnya yang bakal mezahirkan perubahan melainkan Allah S.W.T sendiri. 



Walau apa pun saya amat memuji tindakan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPP)  ( terutamanya kepada ketua DPPP, Ustaz Hafiz Nordin) kerana bertegas berkenaan program tarian jalanan I-Dance anjuran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Sememangnya DPPP adalah antara segelintir ahli PAS yang betul-betul berjuang atas dasar prinsip. Suara lantang dalam beberapa isu menampakkan izzah mereka sebagai pejuang Islam yang sebenar. Kerjsama erat DPPP dengan NGO Pulau Pinang yang lain seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM), TERAS Melayu, Persatuan Ulama cawangan Pulau Pinang (PUMPP) Citizen International menjadikan mereka lebih relevan dan KONSISTEN dalam perjuangan. Saya amat kagum dengan mereka dan berbangga menjadi teman seperjuangan mereka selama 2 tahun lebih ini dalam memperjuangkan isu-isu yang bukan menjadi pilihan PAS Pusat seperti FTA, IFC (siap masuk makhamah lagi). 


Nampak susah tapi bukan satu benda yang mustahil. Maruah Islam berada di tangan pemimpin Islam. Buat masa ini, PAS hanyalah feeder party kepada Pakatan Rayat. Biarpun Unit Amal bertungkus lumus jaga trafik sewaktu BERSIH, PRU dan sebagainya, DSAI juga yang mendapat sokongan penuh para penyokong Pakatan Rakyat. 


Kenapa DSAI? Macam saya kata tadi kerana DSAI adalah manusia yang berilmu yang mampu merungkai masalah semasa dengan baik (walaupun tidak semua beliau cakap betul. Logik harga minyak turun, harga barang turun dah salah). 


DSAI memahami realiti semasa dengan baik (tetapi belum tentu dari segi ontologikal, dan metafizikal).


Praxis kekuasaan Pakatan Rakyat haruslah bertunjangkan ilmu. Siapa yang lebih relevan dan memahami realiti, dialah yang "berkuasa". Tetapi "kuasa" tanpa
al-haqq hanya melahirkan fasad.
Read more »

Berbeza Pada Yang Sama

Saturday, 2 July 2011 0 comments


Apakah manhaj penyampaian tauhid oleh Nabi SAW kepada para sahabat?

Dari sudut sejarah, pendekatan penyampaian akidah tauhid kepada para sahabat pada zaman Rasulullah SAW bersifat mudah dan padat. Maksudnya, menggunakan terus pendekatan al-Quran menerusi wahyu Allah.

Jika ada sebarang pertanyaan yang menuntut penjelasan dari Rasulullah, baginda memberi penerangan terus atau menunggu wahyu Allah. Corak jawapan kepada persoalan tersebut berbeza-beza tahapnya bersesuaian dengan tahap pertanyaan dari siapa dan keadaan semasa.

Penjelasan Nabi SAW dengan bait katanya pula menjadi sunnah ikutan dalam hal berakidah. Oleh sebab itu, pendekatan zaman awal Islam boleh dikatakan sebagai menggunakan pendekatan al-Quran dan al-Sunnah.

Pada zaman ini, masyarakat Islam menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah tanpa banyak soal. Mereka beriman sepenuhnya dengan apa yang diajar kepada mereka oleh Nabi SAW.

Sebagai contoh, lihatlah sahaja bagaimana peribadi Saidina Abu Bakar yang membenarkan apa yang diceritakan kepadanya tentang peristiwa ghaib Israk dan Mikraj tanpa banyak soal tentang kebenarannya.

Asalkan khabar berita yang dibawa kepadanya datang dari Nabi Muhammad SAW, beliau akan membenarkannya. Oleh sebab itulah, beliau diberi gelaran al-Siddiq yang bererti yang membenarkan. (Muhammad Mutawalla al-Sya'rawi , 1981:110)

Adakah ini bermakna, suasana perbahasan ketika itu tenang daripada polemik?

Ringkasnya, suasana perbahasan pada zaman Rasulullah amat tenang daripada pertelingkahan pendapat khususnya dalam masalah akidah. Mereka menolak perdebatan dan perbahasan panjang tentang persoalan Ilahiyyat.

Rasulullah adalah sumber rujukan utama. Mereka juga menerima agama daripada riwayat yang benar dan athar yang diriwayatkan dari dalil orang adil dan thiqah (dipercayai) sehingga sampai kepada Rasulullah.

Mereka memahami apa yang diterangkan oleh Rasulullah dan memilih untuk berdiam diri dari berdebat tentang sifat-sifat Allah. Mereka juga tidak pernah membeza-bezakan sifat-sifat tersebut menjadi sifat zat dan sifat fi'l, melainkan mereka menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah.

Mereka juga memutlakkan makna yang telah dimutlakkan Allah sendiri bagi diri-Nya, seperti wajah, tangan dan sebagainya dengan menafikan kesamaan sifat itu dengan makhluk. Mereka menetapkannya tanpa tasybih dan mensucikannya tanpa ta'til.

Mereka bersepakat mengakui sifat-sifat Allah sebagaimana diajar dan tidak ada yang pernah mengambil cara-cara ilmu Kalam dan juga falsafah. (Abu al-Hasan 'Ali bin Isma'il al-Asy'ari, 1999:8 & 9)

Apakah pula pendekatan mengajar tauhid selepas wafatnya Nabi SAW?

Setelah wafatnya Rasulullah khususnya pada era tiga kurun awal hijrah, pendekatan yang digunakan masih bersesuaian dengan kaedah yang ditinggalkan oleh baginda.

Kaedah pengajaran ini lebih dikenali dengan kaedah salaf, iaitu kaedah yang digunapakai oleh golongan terkemudian dalam mengajar tauhid kepada masyarakat. Istilah salaf ini mula masyhur ketika mana berlaku persaingan pemikiran dan perdebatan aliran-aliran ilmu kalam dalam soal usuluddin atau dasar-dasar agama berhubung dengan persoalan akidah.
Ramai dalam kalangan mereka cuba mengaku diri sebagai golongan salaf dan cuba mempertahankan Islam dari serangan pemikiran ahli bidaah. (Muhammad bin Aman al-Jami', 1991:57)

Pada zaman kemudiannya, ketika mana unsur falsafah dan ilmu kalam meresap masuk dalam ilmu tauhid, pendekatan pengajaran tauhid turut menggunakan kaedah falsafah dan ilmu kalam khusus dalam menjawab penyelewengan yang timbul dalam aspek akidah.

Pada masa yang sama, golongan salaf terutamanya ahli hadis membuat bantahan terhadap kaedah yang diguna pakai oleh ahli Ilmu Kalam. Mereka berpendapat, al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai dalam mencari jawapan terhadap persoalan akidah dan tidak perlu kepada dalil akal atau menggunakan kaedah falsafah.

Para sahabat dan tabien menutup rapat pintu ta'wil dalam soal Ilahiyyat misalnya ta'wilan dan tafsiran yang membawa kekeliruan dan salah faham tidak mendapat tempat di sisi mereka. Soalan yang berbentuk bagaimana dan kenapa adalah perkara yang dijauhi dan dianggap suatu perkara bidaah dalam hal Ilahiyyat. ('Irfan Abd al-Hamid, 1967:126)

Kemudiannya, bangkit Ibn Taimiyyah (m.728H) yang merumuskan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai iaitu rumusan tauhid berdasarkan kepada Tauhid Rububiah, Uluhiah dan Asma' wa Sifat yang berteraskan fahaman kaedah salaf.

Bila pula munculnya tauhid berasaskan Sifat 20?

Pada zaman mutakhir, tatkala umat Islam diserang pemikiran akidahnya dan bercampur baur pemahaman akidahnya dengan unsur falsafah yang menyesatkan, muncul Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.896H / 1490M) dengan pendekatan baru iaitu pendekatan Sifat 20 dalam kitabnya yang masyhur iaitu Umm al-Barahin.

Pendekatan ini tersebar luas sehingga ke nusantara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pendekatan sifat 20 ini dalam memahami akidah kemudiannya dikembangkan dalam bentuk terjemahan oleh ulama nusantara dalam kitab-kitab jawi atau juga dikenali sebagai kitab-kitab kuning.

Pada tahun 1757M. iaitu pada abad ke 18M. misalnya, Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin telah menterjemah serta mengubah suai kitab al-Sanusi yang bertajuk Umm al-Barahin yang membincangkan persoalan berkaitan dengan ajaran Sifat 20. Kitab tersebut kemudiannya dinamakan Bidayah al-Hidayah. (Kamarul Bakri bin Abd. Aziz, 1999:80 & 81)

Selepas itu beberapa kitab berkenaan dengan ilmu tauhid yang berasaskan kitab Umm al-Barahin ini telah dikarang. Di antaranya ialah Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid oleh Abdul Samad Palembani pada tahun 1764M di Mekah.
Pada masa itu juga, Nawawi Bentani yang berada di Mekah telah menyusun sebuah kitab syarah kepada Umm al-Barahin yang bertajuk Zari'at al-Yaqin. (C. Snouck Hurgronje, 1970: 271)

Pada abad ini juga Tok Syihabuddin dari Palembang turut mengembangkan ajaran Sifat 20 melalui kitabnya Aqidah al-Bayan. Pendek kata, aliran akidah yang berkembang di nusantara adalah berasaskan fahaman al-Asya'irah terutamanya berkenaan sifat 20 menurut huraian al-Sanusi dalam kitabnya Umm al-Barahin.

Kebiasaannya, para ulama kitab Jawi akan mengupas tentang sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka membahagikan sifat wajib kepada 20 dengan pembahagian kepada empat kategori iaitu nafsiah, salbiah, ma'ani dan ma'nawiyyah berserta huraiannya.

Ringkasnya, di sepanjang sejarah perkembangan akidah Islam dari sudut pendekatan pengajarannya, terdapat pelbagai kaedah yang diformulasikan oleh para sarjana Muslim yang diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada zaman-zamannya.
Secara ringkas, terdapat tiga pendekatan yang menonjol iaitu pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan lanjutan dengan nama pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan pendekatan lanjutan rumusan berasaskan Sifat 20 atau Doktrin Sifat 20.

Malangnya perbezaan pendekatan itu mendorong sebahagian kita melabel manhaj yang lain sesat? Bolehkah?

Ketiga-tiga cara penyampaian akidah tauhid di atas sama ada melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan Sifat 20 merupakan cara atau manhaj yang digunapakai dalam sejarah perkembangan ilmu penyampaian akidah tauhid.

Kesemua cara tersebut bermatlamat hendak mengenalkan Allah kepada masyarakat. Oleh itu, membuat tuduhan bahawa pendekatan sesetengah pihak sesat dan bidaah adalah tidak wajar. Isunya di sini adalah apa yang digunakan itu adalah satu bentuk PENDEKATAN.

Matlamatnya tetap sama untuk menyeru manusia beriman kepada Allah. BERBALAH dalam isu PENDEKATAN hanya merumitkan keadaan dan menyebabkan masyarakat keliru dengan pegangan pendekatan yang digunakan.

Ahli Sunnah wa al-Jamaah bukan sahaja melarang kita membudayakan isu kafir mengkafir bahkan tidak menggalakkan kita sesat menyesatkan antara saudara seagama tanpa asas yang kukuh.

Malah kedua-dua tindakan itu hampir sama. Begitu juga, seandai sesetengah pihak menuduh Ibn Taimiyyah sesat dalam kaedahnya, maka banyak yang perlu disemak dalam kurikulum pendidikan negara di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Begitu juga andainya pihak yang lain pula menuduh Sifat 20 itu sebagai bidaah, maka banyak pula kitab-kitab ulama nusantara yang masyhur di sisi orang Melayu wajib ditinggalkan.

Berbalah dan berselisih dalam hal PENDEKATAN pengajaran ini haruslah dielakkan demi keharmonian masyarakat awam dalam memahami akidah Islam yang sebenar.

Ada Yang Lebih Mengetahui

Tukang Kebun
Read more »

Hikayat Pipit Kedah

0 comments


Sesekali Si Pipit juga terasa hendak berbicara soal 'politik'. Dasarnya, Si Pipit tidaklah berminat tentang politik, hatta sampai suatu hari Pipit termenung. Tidaklah burung jika tidak bercakap tentang 'awan politik' yang kadang-kadang cerah dan kadang-kadang mendung. Maka dengan itu Pipit cuba mencari info yang menarik tentang Politik untuk dikongsi bersama burung-burung yang membaca.

Walaupun pipit hanya pipit dan mustahil bagi pipit menyaingi Sewah dan Samarani di pentas angkasa politik. Namun, pipit juga lah yang menjadi subjek "pemakanan" dan "kekuasaan" Sewah dan Samarani di luar sana. Jadi, secara demokrasi dan semulajadinya maka dibolehkan Si Pipit berbicara hal ehwal isi angkasa politik itu tanpa halangan mahupun pemburu.

Pipit dengan penuh rasa rendah dirinya ingin berkongsi informasi tentang SIAPAKAH BAKAL MENTERI BESAR KEDAH pada penggal akan datang. (bukan Pipit hendak meramal masa hadapan, TIDAK SAMA SEKALI! itu syirik!, Pipit cuma memberi 'kemungkinan' secara 'kronologi'). Diakhir omongan Pipit akan Jelaskan isi topik.  Emm, Pipit percaya telah ada yang mengetahuinya, tetapi pipit yakin lebih ramai yang tidak mengetahuinya.

Pipit bukanlah pengampu Sewah, maka bukan jugalah pengampu Samarani. Pipit hanyalah rakyat Kedah yang melihat dan berfikir.

Memandangkan PRU 13 pun sudah hampir, makanya perlu juga pendedahan ringkas untuk dikongsi kepada sekalian burung yang belum pernah merasai udara PRU sebelum ini. (termasuklah Si Pipit).


SITUASI KEDAH 2011

Selepas kemenangan PRU penggal lepas, bumi Kedah kini di perintah oleh SANG SEWAH. Sewah itu alhamdulillah, keperibadiannya baik, rasanya jagat burung di tanah jajahan Bukit Bangi juga mengetahui tentang keperibadiaan Sewah, ini adalah kerana suatu ketika dahulu, Sewah itu pernah menjadi Pensyarah di sekalian bumi UKM. Maka sekalian burung disana lebih mengetahui tentang ilmu dan sifat Sang Sewah itu. Pipit yakin.

Cerita Pipit hanya tertumpu pada jajahan Sewah sekarang ini, Bumi Kedah agak tenang, setenang riak muka Sang Sewah. Sesekali ada jugalah hikayat dan 'saintifik' berita yang menonjolkan kelemahan pemerintahan Sewah di bumi Kedah. Namun secara peribadinya, Si Pipit melihat sendiri kehebatan Sewah menanganinya. Dari awal Pipit katakan, Pipit bukan pengampu, pipit hanya rakyat yang melihat dan berfikir.

Adapun di pihak lawannya adalah SANG SAMARANI, Samarani yang yang bertanding di N12. Pemerhatian pipit terhadap fizikal Samarani juga menunjukkan kebaikkan, InsyaAllah.


'KEMUNGKINAN' SECARA 'KRONOLOGI'


Berbalik kepada topik, SIAPAKAH BAKAL MENTERI BESAR KEDAH?
Jawapannya: Anda yang tentukan!

Jika PAS dan sekutunya menang majoriti, maka MB ialah Ustaz Azizan Bin Abd. Razak. (Sewah)
Jika Barisan Nasional dan sekutunya menang majoriti, maka secara kronologinya MB ialah Ahmad Bashah Bin Md Hanipah. (Samarani)

Maka sekalian burung di bumi Kedah ni, sila-silalah buat keputusan yang terbaik.

Jika anda masih selesa dan sayang dengan Ustz Azizan, maka undilah PAS.
Jika anda percaya dan yakin akan kepimpinan Datuk Bashah, maka undilah BN.

Keputusan ditangan anda.Jika sekalian burung bertanya si Pipit di sebelah mana? Pipit akan menjawab, Pipit hanya ilusi dan undi Pipit rahsia.

Jika sekalian burung tidak percaya 'kemungkinan' yang Pipit katakan diatas, silalah kaji dan bertanya kepada burung yang lebih ahli. Pipit dengan penuh yakin, jawapannya adalah sama sepertimana Pipit kongsikan.


PENGALAMAN PIPIT

Minggu lepas, Pipit pergi ke SPA6 (state/negeri) di Wisma Darul Aman, untuk suka-suka nak ambil tahu pasai punca pembekuan jawatan kerajaan yang diwar-warkan kerajaan baru-baru ini. Walaupun Pipit bukanlah graduasi lagi, tapi tidak salah Pipit nak ambil tahu kan?. Al-Quran kata, kalau xtau, tanya orang yang tau. tak kisah bidang apa pun.

Setibanya di kaunter SPA, seekor burung pun tiada ketika itu kerana masa lunch belum habis. 15 minit lepas tu muncul seekor burung berusia 40-an.  Pipit pun berboraklah dengan burung  berkolar putih itu (orang mahir). Asyik bersembang,  tiba-tiba termasuk nama Ustaz Azizan dalam topik tu. Lepas tu mulalah dialog ni:

Burung A: Ustaz Azizan tu bagus, ramai kakitangan suka cara dia, saya respect cara kerja dia. Tapi terus teranglah saya cakap, "saya UMNO".

Pipit senyum jer. (dalam hati, hooo betullah sangkaan aku, tgk gaya pun boleh agak).

Burung A: PAKATAN menang majoriti di Kedah penggal lepas pun disebabkan pengundi UMNO ramai yang inginkan perubahan. jadi ramai Umno pangkah PAS.

(dalam hal tu, Pipit pun bersetuju ) Pipit terus senyum kambing jer (dalam hati, kenapa tak declare PAS jer dah undi PAS, kata nak perubahan hehe).

Seolah-olah dia dengar suara hati Pipit, dia pun membalas:

Burung A: saya Undi PAS kejap jer, Nanti undi BN balik!.

katanya lagi: kita beri peluang pemerintahan baru, lagipun kita dah tak mau orang lama-lama ni. Yang paling penting kita sebagai rakyat ni nak kebajikan dari pemerintah disamping attitude wakil yang kita undi tu.

hah! Pipit dengar jer ayat tu, mulalah nak saraf-sarafkan burung tu. lepas tu Pipit bersuara perlahan...

Pipit: Abang, minta maaf lah saya tanya... saya nak tanya pandangan abang lah... kalau secara urutan kronologinya, kalaulah UMNO menang majoriti PRU 13 kt Kedah ni, yang akan naik jadi MB ialah Datuk Bashah, betul?

Burung A: mengangguk jer.

Pipit: Pandangan abang pasai Datuk Bashah macam mana?

Adapun, tersentaklah burung itu mendengar soalan tak cerdik dari Pipit. Lepas tu perlahan dia bersuara.

Burung A: Pendidikan dan Ilmu jugak penting kalau nak jadi MB ni, tu agak beratlah abang nak cakap. Kamu pun tahu kan tahap pengajian Datuk macam mana..

Pipit pun hangguk jer lah, memang pernah jadi isu hangat suatu ketika dulu tentang tahap pendidikan dia. Buah last yang Pipit tinggalkan untuk burung tu:

"Lepas ni, abang "terpaksa" undi PAS lagilah jawabnyer". (dalam hati, Kah...kah...kah...kah... kan senang kalau abang declare PAS jer, Kalau dah semua pemimpin UMNO kt kedah ni x dapat tepati ciri-ciri yang abang nak, apa rasionalnya lagi dengan UMNO menurut abang)

Lepas hampir sejam kami berborak, jawapan mengenai SPA yang Pipit nak pun dah dapat, jadi kami pun bersurai lah. itulah ceritanya.


Moral The Story

Kadang-kadang pengundi ni tak tengok parti sangat pun, tapi tengok wakil parti tu. kalau wakil parti tu diyakini dan mampu menjaga kebajikan rakyat, maka undilah dia. macam mana nak tau dia boleh ke tidak kalau tak naik tempat tu lagi?? mudah jer jawapannya... kalau wakil tu ada pegangan Islam yang kukuh, percaya atau tidak, dia mampu buat apa pun kebajikan kerana Allah besertanya.

Samada Ustaz Azizan mahupun Datuk Bashah, kedua-duanya helang di angkasaraya... yang membezakan mereka adalah... anda ada jawapan itu wahai sekalian rakyat Kedah. Pilih lah siapa yang anda nak buat Menteri Besar.
Ada Yang Lebih Mengetahui.


Tukang Kebun
Read more »