Content

Prolog

Monday, 27 June 2011


Pinggiran Bandaraya, Kedah - 2002

Sebuah kereta sporty berjenama Honda berhenti dihadapan pintu pagar rumah JoShua. Mematikan pergerakan kanak-kanak yang sedang bermain tidak jauh dari rumah itu. Pandangan mereka mula beralih kearah seorang lelaki separuh usia, berkacamata hitam, keluar dari kereta tersebut. Berwajah serius. Ditambah dengan misainya yang rapi. Menjadikan lelaki itu kelihatan kemas berkemeja lengan panjang. Digandingkan dengan tali leher gelap menyerlahkan tona warna yang macth dengan warna pakaiannya. Sangat bergaya.

“Eh JoSh, siapa datang rumah kau tu? Tak pernah tengok pun.” Soal salah seorang teman sepermainan JoShua, ingin tahu.

JoShua mengangkat bahu mengisyaratkan ketidakpastian. Dahinya mula mengerut. Matanya mula menyempit memikirkan siapakah lelaki itu. Agaknya selepas mendapat jawapan. JoShua terus menyambung permainannya walaupun tumpuan rakan-rakannya yang lain masih lagi terpana melihat kereta sporty yang jarang sekali dapat ditatap dengan jarak dekat.

“JoSh, kau pergilah tanya,  pakcik tu cari siapa, kalau pakcik tu datang depan rumah aku dah lama dah aku layan dia.” celah seorang lagi rakannya.

“Ibu kau kerja kan hari ni, JoSh? Kereta tak ada di rumah.” Rakannya cuba mengagak.

Tanpa jawapan.

Di benak fikiran JoShua, dia telah mengetahui identiti lelaki itu. Masakan JoShua tidak menegnali lelaki itu. Dia pernah menemui lelaki itu dua tahun lepas. Ketika usianya dua belas tahun. Masih segar diingatan. Mereka pernah bertemu di lokasi yang sama. Seketika kemudian, JoShua menggerakkan langkah kearah basikal Lerun pemberian ibu. Basikal yang sepatutnya dibeli oleh lelaki itu dua tahun lalu. Sebagai dorongan pelajaran bagi JoShua menduduki UPSR. Bukan itu yang sebenarnya JoShua harapkan, tetapi dia telah berjanji. Janji mesti ditunaikan. Malangnya, itulah antara kelemahan lelaki itu.

“Assalamualaikum!, pak cik cari siapa?” soal JoShua sambil menunggang basikalnya menghampiri sisi kereta milik lelaki itu. Bisikan hatinya mengumam sesuatu.

“Macam bagus sangat kereta ni. Nanti aku akan miliki sesuatu yang lebih bagus daripada apa yang kau miliki.”

Walaupun secara hakikatnya tidak dapat dinafikan kereta itu memang menarik untuk dilihat sesiapa sahaja. Apatah lagi untuk memiliki. Tetapi tidak pada JoShua, dia mempunyai hujah tersendiri yang menjadikan hatinya keras untuk menerima sesuatu yang indah itu adalah kebaikkan.

“David ada dirumah tak?” soal lelaki tersebut menjawab soalan JoShua.

Seumpama terkena tusukan selumbar. Pedih tidak dirasai ketika ia menusuki, namun ketidakselesaan akan dirasai dalam tempoh yang agak lama. JoShua membatu seketika mendengar pertanyaan lelaki itu. Tidak hairanlah jika JoShua tergamam. Orang yang ingin dicari sebenarnya telah berada dihadapan mata, namun tidak diketahui. Air muka Joshua mula berubah. Tidak dapat ditafsirkan apa yang bermain di fikiran JoShua setelah mendengar soalan itu. Agaknya sedikit malu dengan rakan-rakannya. Apa yang pasti, kekecewaan terlukis diraut wajah remaja tersebut. Setelah dia yakin bahawa rakan-rakannya tidak mengetahui identiti lelaki itu, JoShua cuba menjawab.

“Errr… maaf pakcik, David keluar. Baru tadi saya nampak David menunggang basikal menuju kearah sana.” sambil dia menuding jari kearah utara kedudukan mereka.

Mendengar jawapan itu. Rakan-rakannya kelihatan bingung. Tanpa membantah mereka hanya mendengar perbualan lelaki itu dengan JoShua.

“Dah lama dia keluar?” ringkas soal lelaki itu seakan-akan JoShua sedang bercakap dengan operator pemasaran yang tidak mempunyai intonasi sewajarnya.

“Baru sebentar tadi, pakcik.” Jawab JoShua seolah-olah tidak berminat lagi untuk berdialog panjang.

Selesai JoShua berkata-kata, dia menggenggam handle basikal yang ditungganginya. Lantas, dia mengalih kedudukan basikal kearah selatan. Tanpa memandang kearah lelaki itu, JoShua mengayuh basikal dalam keadaan hampa menuju ke arah selatan. Tanpa menoleh kebelakang lagi.

Lelaki itu adalah bapa JoShua. Bapa kandung JoShua. Seorang lelaki yang pernah menjadi suami kepada ibunya. Satu-satunya manusia yang bertanggungjawab membawa dia ke dunia ini. Ketika JoShua berusia enam tahun, ibu bapanya telah berpisah. Walaupun demikian, tidak sama sekali JoShua menyalahkan ibunya. JoShua yakin, ibu pasti mempunyai sebab yang munasabah untuk bertindak sedemikian. Meskipun dengan perpisahan, setahu JoShua tidak ada undang-undang yang mampu mengekang daripada seorang bapa menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Apatah lagi untuk menziarahi. Kiranya tidak ada khilaf disisi mana-mana agama menghalang hubungan seorang bapa dan anak. Tetapi itulah, selagi bernama manusia. Lupa dan salah itu seiring dengan kehidupan manusia.

Kayuhan JoShua terhenti di bawah sebatang pohon mangga yang merendang menghala ke sawah. Di rendang pohon itu jugalah JoShua gemar memancing bersama rakan-rakannya jika berkelapangan.

Gegaran mesin pam air yang mengalirkan air sungai ke sawah padi menemani kehampaan JoShua pada petang itu.

Pelipis mata JoShua kelihatan sebam. Mungkin dia menangis sepanjang mengayuh basikal untuk ke situ. Pandangan sayu dilemparkan jauh ke tengah sawah padi yang dilimpahi air sungai. Walaupun bunyi gegaran mesim pam air agak bingit. Namun suasana sawah di situ sangat damai sekali. Mengimbau kembali kenangan dua tahun lalu.

Suasana pagi di pinggiran bandaraya Darul Aman merakamkan pentas kehidupan seperti biasa. Walaupun tidak setenang kampung Utan Kandis di Perlis. Namun, tidaklah sesibuk Bandar Baru Bangi. Sesekali kelihatan beberapa kereta menelusuri jalan lencongan tidak jauh dari sudut pandang sebuah rumah teres satu tingkat. Rumah yang cukup untuk menggambarkan pemiliknya seorang yang hidup sederhana. Rumah ibu Joshua.

Dari jauh kelihatan seorang kanak-kanak sedang minum di halaman rumah bersama seorang lelaki. Tawa kecil kanak-kanak itu diiringi siulan burung murai yang bertandang di pohon rekup berhampiran rumah. Wajahnya sangat ceria. Mungkin melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bertemu lelaki itu. Tiga tahun lamanya. Rindu seorang anak kepada seorang bapa.

“David UPSR kan tahun ni? Petang ni jom ikut papa.” Soal lelaki itu menampakkan sikap seorang bapa yang penyayang. David  merupakan panggilan manja yang sering diungkapkan oleh bapanya.

“Ke mana papa?” JoShua berminat untuk mengetahui.

Seolah-olah lelaki itu berfikir sejenak.

“David nak Lerun ke, BMX ke GT?” balas lelaki itu.

“Papa nak beli basikal ke?” JoShua terus menyambut soalan itu menandakan dia faham bahawa apa yang di sebut lelaki itu adalah jenama-jenama basikal yang kini digilai oleh kanak-kanak seusia dengannya.

Lelaki itu tersenyum dan mengangguk tanda setuju dengan sangkaan anaknya itu.

“Betul ke???” soal JoShua lagi untuk mendapatkan kepastian.

“Abah ‘janji’.” Jawapan yang tidak mungkin lagi dipertikaikan oleh seorang kanak-kanak.

Raut wajah JoShua serta merta berubah menunjukkan keceriaan yang amat sangat. Senyumannya semakin meleret. Memandangkan sudah lama dia berharap untuk dibelikan sebuah basikal baru bagi menggantikan basikal mininya. Pertemuan dengan lelaki tersebut pada pagi itu bakal merealisasikan impian JoShua.

Sesekali ketika mengayuh basikal ke sekolah, terasa juga JoShua untuk memiliki sebuah basikal BMX sepertimana kawan-kawan sekolahnya yang lain. Tetapi apakan daya. JoShua sedar kemampuan ibu ketika itu.

Soalan ayahnya pada pagi sabtu tersebut seolah-olah memberi harapan baru kepadanya. Agak lama JoShua tidak berjumpa dengan ayahnya. Sudah tiga tahun. Rupa-rupanya pertemuan pagi itu memberi sinar harapan untuk hubungan yang sudah sekian lama hambar. Hasrat untuk memiliki basikal BMX akan menjadi kenyataan pada petang itu. JoShua mula berharap.

Pada petang itu juga JoShua turut ditemani ibu untuk ke bandaraya bersama bapanya. Ketika dibilik pameran basikal di bandaraya. JoShua kelihatan ecxited  membelek-belek basikal yang dihajati. Akhirnya JoShua memilih basikal BMX berwarna kuning terang. Selepas berbincang dengan pihak perkhidmatan pelanggan. Basikal itu tidak mempunyai stok, kecuali pameran. Bertambah hampa, diatas sebab-sebab tertentu basikal yang dipamer itu tidak dapat dijual kepada pelanggan. Mendengar hal itu JoShua menarik muka lantas berjalan keluar dalam keadaan hampa.

“Abang, kita pergi tengok di kedai lain okey?” ibu bersuara lembut dengan panggilan manja bagi memujuk JoShua.

Solusi yang diberikan ibu sedikit sebanyak kembali menyuburkan harapan buat JoShua. Mereka berjalan keluar menuju ke tempat letak kereta tidak jauh dari kedai basikal tersebut. Dalam perjalanan mencari kedai basikal di sekitar bandaraya. JoShua dapat rasakan seolah-olah ada yang tidak kena pada bapanya. Bapanya kelihatan gelisah. JoShua tidak faham apa-apa ketika itu. Matanya hanya melilau sepanjang deretan lot kedai sepanjang bandaraya.

“Kita beli basikal hari lain, David. papa ada kerja sikit hari ini.” Bapanya memulakan percakapan selepas beberapa minit kereta bergerak. Ungkapan veto yang dikeluarkan itu membuatkan ibu JoShua sedikit terkilan.Ibu tersenyum dan berkata sesuatu:

 “Kenapa? Isteri ternampak?”

Tanpa jawapan, kereta menyusul kearah pinggiran bandaraya dalam keadaan diam seribu bahasa.

JoShua tidak berupaya mengeluarkan kata-kata walaupun sepatah. Lidahnya kelu walaupun hatinya memberontak. Fikirannya bercelaru. Dia tidak faham apa-apa melainkan kegagalan untuk mencapai hasratnya.

Terhenti igauan. Fikiran JoShua kembali ke alam nyata. Gumpalan tanah liat ditangannya, dibaling sekuat-kuat hati ke dalam sawah padi yang dibanjiri air. Mengejutkan ikan-ikan yang berenang bebas di permukaan sawah. Kocakan air membadai kearah pinggiran sawah. Mengalunkan pantulan wajah JoShua yang merenung kedalam air di tepian sawah.

Air murni jernih mula melinangi kelopak mata remaja bertubuh kecil itu. Jika suatu masa dahulu, mungkin jiwanya memberontak disebabkan hasrat hatinya tidak tertunai. Kini, air mata itu menjadi pembakar perasaan apabila mengenangkan manusia yang tidak bertanggungjawab. Bapa yang tidak bertanggungjawab.

Jam ditangan menunjukkan pukul enam petang. Masih awal untuk dia pulang ke rumah. JoShua melabuhkan punggungnya disisi pohon mangga. Bersebelahan tempat dia melutut merenung ke air di tepian sawah. Renungan lesu kearah saujana mata yang terbentang didepannya. Bagi JoShua, dia perlu menjadi seseorang yang melepasi bapanya suatu hari nanti. Dia nekad akan menelusuri jalan yang bertentangan dengan bapanya. Menjadi manusia yang tidak mampu dinilai dengan mudah. Menjadi manusia yang menghargai manusia yang layak dihargai. Menjadi manusia yang memahami manusia lain. Menjadi lagenda. Tidak semestinya bijak, dan tidak semestinya bergaya. Apa yang penting bagi JoShua, adalah pembuktian. Dan, dendam.

“I will surpass you!, I will get my dignity. And make sure you feel so guilty and shameness will suround you until you die”

“You created your own weapon to kill yourself”

“I won’t forgive you, papa”

Kehidupan yang bakal diharungi remaja itu penuh dengan onak dan intipati kehidupan. Dia mempelajari segalanya daripada kehidupan. Pengalaman memahami kehidupan adalah gurunya yang setia. Dalam meniti kehidupan untuk mencapai pembuktian dan dendam yang diimpikannya, remaja itu melalui pelbagai lorong yang berliku. Kadang-kadang dia tewas. Kadang-kadang dia lebih cemerlang daripada orang yang cemerlang. Adakah impiannya akan tercapai. Hanya Tuhan yang tahu.

0 comments:

Post a Comment