Content

Sangat Sukar Untuk Memahami

Saturday, 2 July 2011


MEMAHAMI DAN MENGHORMATI MAMPU MENGELAKKAN PERPECAHAN MANUSIA MESKIPUN TERDAPAT PERBEZAAN IDEOLOGI


Pengenalan: 

Yang nyata salah itu tetap salah, yang jelas benar itu tetap benar. Sebagai penganut ajaran agama, salah dan benar itu diperjelaskan melalui agama. Agama bersifat universal serta tiada kekangan masa dan tempat, ia wujud dalam semua aspek kehidupan; ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Namun, penulis berani menyatakan bahawa, tidak semua hal ehwal kehidupan diperincikan dan diperjelaskan oleh agama satu persatu, dengan menyatakan benar salah, boleh tidak boleh, haram wajib dengan jelas. Misalnya; dari Kedah hendak ke Johor, perjalanan manakah yang (benar salah, boleh tidak boleh, haram wajib) dilalui? Setiap sesuatu tertakluk kepada agama, namun dalam persoalan tersebut agama tidak memperincikan. Jadi, penulis menganggap perkara tersebut adalah perkara yang harus. Penulis sedar bahawa jika disebut ‘agama’ ia tidak hanya merujuk kepada kitab Tuhan, dan panduan Rasul semata-mata, ia juga merujuk kepada sumber-sumber lain seperti kata-kata atau pendirian ilmuan agama, juga akan membentuk ‘agama’. Namun sejarah pembentukan agama yang dipersepakati dan sumber murni agama adalah berasal daripada Tuhan yang satu dan Rasul-nya yang terpelihara. Sumber-sumber selepas itu bertindak sebagai momentum yang memperluaskan lagi ajaran agama. Di pihak manusia yang berakal bersih dan memahami ajaran agama tidak akan sesekali muncul permasalahan berkaitan perbezaan pendapat. Kerana, perbezaan pendapat dalam hal kehidupan itu adalah indah. Tetapi masalah akan terjadi dipihak yang terlampau menyanjung ‘ilmuan agama’ tanpa menyelami kehendak ‘agama’. Menerima ‘objek’ (manusia) lebih daripada pemahaman terhadap ‘subjek’ (agama). Sedangkan objek hanya menyampaikan subjek. Penulis tidak ingin berbicara dalam konteks hal ehwal yang telah diperjelaskan oleh agama dengan jelas “boleh tak boleh”, “benar salah”, “haram halal”. Kerana perkara itu jelas.  Tidak lain, penulis hanya ingin berkongsi buah fikiran berkaitan perbezaan pendapat yang berlegar dalam kehidupan pada aspek yang tidak dimutlakkan oleh ajaran agama. Dalam perkara yang harus.

Isu: Walaupun berbeza pendapat, cuba fahami dan hormati pendirian manusia lain.
Natijah: Tidak akan wujud kebencian dan perpecahan sesama manusia.
Konteks: Hal ehwal kehidupan yang bersifat harus. Tidak dikhabarkan oleh agama secara mutlak (qat’i). Perkara yang memerlukan pemikiran yang bersih dan tidak berkepentingan peribadi.


Manusia berbeza?
Benar, manusia berbeza. Namun, saling memahami dan menghormati antara satu sama lain akan menjadikan manusia itu sama. Kehidupan dunia hanya sebahagian daripada titian perjalanan sebagai manusia. Matlamat kemuncak manusia bukanlah dunia. Sepulau harta sekalipun tidak bermakna, jika tiada bekalan untuk ke sana. Lagi lengkap jika di dunia kita berjaya, di akhirat kita sejahtera. Manusia berbeza sesama manusia, namun sama sebagai khalifah selaku hamba.

Berbeza pendapat?
Sekalipun pendirian anda tidak mencapai persepakatan umum. Cubalah fahami dan hormati pendirian orang lain. Jika anda tidak mampu menerima pendirian tersebut, cukuplah sekadar anda tidak membenci dan menghukum pendirian orang lain. Pendirian orang lain mungkin salah pada sudut yang anda fikirkan, namun pada sudut yang anda tidak mampu fikirkan ia adalah benar. Begitu juga pendirian anda, mungkin sahaja salah pada sudut yang mereka fikirkan, namun benar pada sudut pemikiran anda. Kerana kuantiti ilmu manusia tidaklah sama. Dalam perkara harus, tiada sama sekali istilah “siapa pandai atau siapa bodoh” dalam hal pendirian, prinsip, keputusan, pemikiran dan pendapat. Sekalipun berbeza pendapat anda dengan mereka, ia tetap tidak akan menghalang anda daripada bergaul, belajar dan berteman dengan mereka asalkan anda mempunyai sikap saling memahami dan menghormati.

Dalam hal ehwal kehidupan yang bersifat harus, tidak dikhabarkan oleh agama secara mutlak (qat’i), masih adakah manusia yang berhak menetapkan benar atau salah pendapat manusia yang lain?
Sudah tentu tiada manusia yang berhak kerana agama juga tidak memperincikannya. Manusia tidak dapat lari daripada perselisihan dan perbezaan pemikiran. Itu pasti! Kerana manusia berbeza pada semua aspek; latar belakang keluarga, pengaruh, lokasi, pemikiran, pengalaman, pendidikan, matlamat hidup dan lain-lain. Tuhan yang satu menguruskan takdir dengan memberi hak kepada manusia menguruskan tadbir diri berdasarkan ilmu yang dimiliki manusia. Keegoan manusia dengan ilmu masing-masing akan membawa kepada perpecahan jika tidak dipandu dengan sikap saling memahami dan menghormati orang lain.

Adakah perselisihan dan perbezaan pemikiran tersebut akan mendatangkan masalah kepada manusia?
Ya. Ia akan mendatangkan masalah yang sangat besar kepada manusia. Hal ini tidak dapat dinafikan sesiapa pun. Benar, perbezaan akan mendatangkan masalah. Namun, tidak bermaksud ia tidak ada jalan penyelesaian. Cuba untuk MEMAHAMI dan MENGHORMATI pendirian orang lain akan menjadi penawar kepada perselisihan dan perbezaan. Selagimana anda adalah manusia yang berfikir, perselisihan pendapat akan terjadi. Misalnya; dalam berkomuniti, berorganisasi, berkeluarga, berkawan, bercinta dan sebagainya. Bagaimana jika semua manusia saling memahami dan menghormati antara satu sama lain? Alangkah indahnya dunia. Ianya tidak mustahil. Akidah menunjukkan keimanan, Syariat menjelaskan keadaan, Akhlak mencantikkan kehidupan. Akidah dan Syariat hanya didapati dalam Islam. Namun moraliti, etika dan adab boleh sahaja wujud di dalam mana-mana agama. Solusinya ada pada Akhlak dan Adab. Penulis beranggapan bahawa dengan hanya kematangan akhlak, adab manusia mampu mencapai persefahaman dan menghormati manusia lain. Akidah dan Syariat boleh dipelajari dari ilmuan, namun Adab adalah praktikal manusia. Tetapi malangnya, manusia kurang berminat berbicara soal adab, kononnya tiada ‘class’ dan bukanlah prospektif kerjaya. Sedangkan melalui skop akhlaklah yang akan membentuk agar manusia saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Bagi penulis, akhlak yang paling tinggi adalah seseorang manusia itu mampu memahami dan menghormati pendapat orang lain. Bagaimana mungkin manusia ingin membina mahligai indah di luar bumi, jika peralatan pertukangan dibumi masih belum siap.

Jika perbezaan pendapat itu wujud dalam perkara yang melibatkan manusia lain, Adakah dengan Memahami dan Menghormati pendapat orang lain akan mencapai keputusan yang diimpikan?
Mungkin ya, mungkin tidak. Perkara yang paling penting adalah anda perlu suarakan pendapat anda dengan penuh bijaksana jika dipersoalkan, begitu juga di pihak manusia lain, mereka juga perlu menjelaskan dengan penuh bijaksana pendirian mereka. Setelah kedua-dua pihak berjaya memperjelaskan pendapat masing-masing, maka keputusan dapat dibuat berdasarkan penjelasan yang manakah lebih sesuai diaplikasikan dalam situasi tersebut. Jika anda percaya bahawa anda hanya manusia, anda tidak akan merungut dan mengeluh jika pendapat anda tidak diterima sebagai keputusan. Kerana manusia hanya menguruskan tadbir berdasarkan ilmu, sedangkan Tuhan menguruskan takdir anda. Akal bersih anda akan rasa lebih selesa jika dapat mendengar penjelasan manusia lain yang lebih relevan sebagai keputusan. Percayalah. Tetapi jika pendapat anda berkepentingan tertentu yang kurang baik, selayaknya pendapat anda tidak diterima.

Bagaimana pula dengan pendapat yang tidak melibatkan manusia lain? Misalnya pendirian atau falsafah hidup yang bertentangan dengan perkara realiti? Lalu dipandang asing oleh manusia lain.
Setiap sesuatu yang anda lakukan tetap akan melibatkan manusia lain, paling tidak pun mungkin ibubapa, penjaga atau isteri. Anda manusia, mana mungkin manusia tidak mempunyai ‘network’. Dalam soal tersebut, asalkan anda faham dan yakin dengan urusan tadbir tersebut, berbincanglah dengan manusia yang berautoriti keatas anda. Jika diizinkan, dan tidak sama sekali menyalahi panduan agama. Lakukanlah dengan yakin berdasarkan ilmu.

Saranan:

1.              Jika wujud perbezaan pemikiran antara beberapa pihak, maka adakan dialog secara langsung tanpa perantaraan.
2.                  Tidak kisah dalam bidang kepakaran apa sekalipun, ilmu akhlak dan adab perlu didahulukan.
3.                 Jika tidak dapat menerima pendapat manusia lain, maka hormati pendapatnya dan hargai pendapat anda.

Penutup:
Perbezaan dalam perkara harus itu adalah kepelbagaian. Jangan sesekali trauma dengan perkataan ‘perbezaan’, tetapi hargailah ‘kepelbagaian’. Saling memahami dan menghormati akan menghilangkan kebencian. Untuk memperolehi sikap tersebut memerlukan tempoh yang sangat panjang, mungkin seminggu atau mungkin 20 tahun. Melalui berkomuniti, berkawan, berjalan dan berfikir. Adab dan Akhlak bukan hak individu tertentu, ia juga bukan hak milik para ilmuan semata-mata. Sekalipun perompak dan pembunuh juga layak beradab. Sebagaimana ilmu falsafah, ilmu akhlak atau ilmu beradab juga tidak tertakluk kepada satu-satu bidang, ia wujud dalam kehidupan seharian. Berdasarkan pengalaman penulis, kini lebih ramai manusia jahil yang pandai menghormati dan memahami manusia lain berbanding manusia berilmu. Adakah yang jahil itu pelaksana perintah tuhan? Pihak tertentu perlu adakan kajian terhadap persoalan tersebut. Agama dicipta atau diturunkan untuk menyatupadukan manusia melalui ketauhidan terhadap Tuhan. Manusia tidak akan dapat bersatu selagimana tiada sikap memahami dan menghormati. Penulis yakin akan hal itu. Ada Yang Lebih Mengetahui.


Tukang Kebun

0 comments:

Post a Comment